Sekadar Coretan

Bagi mereka yang selesa dengan beragama, agama yang diwarisi dan mendapat tempat dalam beragama maka soalan-soalan seperti,
Di manakah Tuhan, membiarkan kezaliman penindasan terjadi pada makhluk yang lemah ini ?,
Kenapa Dia berada disebalik sesuatu, ghaib bagi pandangan kita bukankah lebih mudah berinteraksi jika ada di depan mata? Jika Dia maha berkuasa, kenapa tidak mampu menzahirkan diri?
Rintihan dan doa yang sepi tanpa jawapan, apakah Tuhan itu bisu atau buta, barangkali sudah mati?
ia adalah soalan berbentuk mulhid dan mushrik, yang membinasakan iman seseorang malah jawapan seperti ini tidak dibalas dengan hujah tetapi lebih kepada kritikan dan rasa jelek dengan si penyoal tadi. Biasa juga dinasihati kita sebagai makhluk tidak layak untuk mempertikai itu dan ini di depan Tuhan, jangan bersikap kurang ajar dan harus bersyukur dengan apa yang ada supaya lebih mendekatkan diri pada Tuhan dan semoga semua tindakkan itu kita mendapat belas kasihan dari Tuhan.
Ketika temanku seorang yang islamik, yang melihat tugas manusia ini adalah berdakwah kepada Tuhan, sering menasihatiku kepada takwa, siapa sahaja yang dia bertemu akan dinasihati bertakwalah pada Tuhan namun pada suatu hari aku pun bertanya pada temanku itu ‘ Apa maksud takwa akhi?’, dia terdiam. Arwah bapa saudaraku juga pernah bertanya padaku apakah maksud ‘ iqtakullah, diterjemahkan oleh khatib jumaat dengan takutlah kepada Allah, kenapa makhluk harus diselubungi rasa takut, apakah Tuhan itu suatu yang menakutkan ? Aku juga pernah berkata pada teman sebayaku, “ jika kita beramal kerana syurga kenapa tidak saja berniat bahawasanya setiap amalan ibadahku untuk syurga bukan Allah?” langsung ditempelak “ hang kena mengucap balik ni?”
Sikap apologetik tidak seharusnya dimatikan dengan gertakan dan ungutan tetapi biarlah dengan hujah akal kerana sipengkritik terkadang bukan bermasalah dengan Tuhan tetapi gambaran ketuhanan yang diberikan oleh ‘ Pak Ustaz’ separuh jalan atau tidak jelas termasuk juga pendakwah-pendakwah muda yang bersemangat dalam berdakwah namun tidak menguasai teologi dengan baik. Fenomena ini aku lihat lebih kepada interaksi sikap pendakwah itu sendiri yang membuatkan jiwa sipengkritik membuak-buak dan melenting yang akhirnya menjauhkan diri dari hidup beragama. Agama untuk apa sih?!
Untuk menjawab, kita ada dua pilihan sama ada dalam bentuk huraian atau jadal iaitu mematikan dengan hujah, biasanya jadal menjadi pilihan tetapi ia tidak tuntas untuk masa yang mendatang. Jalan burhan ini mengambil masa, masa untuk memahami. Yang sering terjadi permasalahan ini adalah akal kita mengambarkan Tuhan itu adalah suatu entiti yang sepertimana juga kita, yang membezakan adalah Dia Maha berkuasa segala-segalanya, kerana Dia mencipta segalanya dan segalanya adalah milikNya.
Kesedaran kita terhadap realiti itulah yang akan memandu akal kita meniti mengenal Tuhan secara rasional, bagaimana? Kamu menafsirkan Tuhan begitu begini dari mana? Dari pengkhabaran? Pengkhabaran secara mutawatir? Itu beerti kamu mengenal Tuhan secara pengkhabaran bukan melalui logik akal kamu? Dari susunan premis akal? Premis akal mengatakan bahawa tidak mungkin alam ini terjadi dengan sendirinya maka Tuhan itu ada? Bagaimana premis ini terhasil? Premis ini terhasil dari interaksi kamu dengan alam ini, sehingga menghasilkan kesimpulan. Apakah interaksi kita dengan alam diluar minda ini adalah suatu realiti sehingga kita boleh membuat kesimpulan bahawa adanya Tuhan? Soalan-soalan ini sudah terjawab dan sedang mengalami kemajuannya dalam ontologi dan juga epistemologi, ia akan memandu akal kita bahawa realiti ini tidak lain tidak bukan adalah Tuhan.
Sebelum kita mengkritik, ketahuilah jika dibandingkan pengetahuan kita dengan kejahilan kita, berapa banyakkah pengetahuan kita berbanding kejahilan kita? Mungkin jika kita sedar, kita sebenarnya tak mengetahui apa-apa cuma yang kita miliki adalah secebis ilmu. Mencarilah, kerana aku juga pernah begitu, aku memiliki sedikit jawapan mengenai ketuhanan ini secara rasional tetapi bukan disini untuk dikongsi, dilain waktu.

No comments: